Wednesday, September 14, 2016
Pengeluaran Writ dan Penamaan Calon
A. Pengeluaran Writ
Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau disebabkan kekosongan di luar jangkaan (Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan writ berupa surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus yang dilantik. Seterusnya, satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampalkan di tempat-tempat tertentu untuk semakan orang ramai. Notis tersebut mengandungi maklumat-maklumat seperti tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.
B. Penamaan Calon
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh SPR bagi calon-calon mengemukakan kertas pencalonan bertanding kepada Pegawai Pengurus pilihan raya. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan sama ada oleh calon itu sendiri, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Ia mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi pada hari penamaan. Selain daripada itu, salah seorang daripada mereka juga perlu menyertakan deposit atau wang pertaruhan berjumlah RM 10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM 5,000 bagi kerusi Negeri. Calon akan hilang wang pertaruhan ini sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding. Menurut Abdul Aziz Bari (2008), wang pertaruhan ini berguna untuk tujuan menghalang pihak-pihak yang tidak bersungguh-sungguh daripada bertanding atas sebab-sebab yang remeh, tetapi juga boleh mendatangkan kesan yang buruk kerana ia juga boleh menyebabkan pilihan raya menjadi medan eksklusif buat golongan yang kaya atau mewah sahaja masuk bertanding. Ini jelas menyimpang daripada matlamat asal pilihan raya yang bersumberkan kepada semangat demokrasi dan egalitarianisme atau fahaman bahawa semua orang perlu mendapat hak yang sama rata. Kertas-kertas penamaan yang diterima akan dipamerkan dari jam 10.00 hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang berdaftar di kawasan berkenaan. Setelah selesai urusan tersebut, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak untuk bertanding. Dalam kes di mana hanya seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan membuat perisyhtiharan bahawa calon itu menang tanpa bertanding.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment